Benarkah radiasi dari menara telekomunikasi mengancam manusia?

Beberapa hari lepas saya berkesempatan menghadiri satu perbincangan berkenaan betapa perlunya pemantauan dan piawaian khusus dari agensi kerajaan terhadap menara telekomunikasi. Keperluan ini demi memastikan radiasi yang terhasil dari sistem telekomunikasi ini tidak mengancam kesihatan manusia. Dalam erti kata lain, perlunya piawaian khusus dari pihak kerajaan yang mana sesebuah menara dan peralatan di atasnya menghasilkan radiasi yang terkawal.

Baiklah, itu adalah sesuatu yang baik untuk dilakukan oleh kerajaan bagi menjaga kesejahteraan masyarakat.

Persoalan yang bermain di fikiran saya, apakah radiasi dari sistem telekomunikasi sebenarnya benar-benar bahaya?

Apa itu radiasi?

Radiasi ditakrifkan sebagai penghasilan atau pemindahan tenaga dalam bentuk gelombang atau zarah melalui ruang udara atau sebarang perantaraan. Radiasi terbahagi kepada dua iaitu ionizing dan non-ionizing.

Radiasi ionizing adalah radiasi yang membawa tenaga yang sangat kuat dan mampu merubah atom, iaitu zarah paling kecil. Ia merubah atom samada dengan menambah atau mengurangkan elektron dalam atom berkenaan seterusnya merosakkan ikatan antara atom dalam molekul. Contoh sumber radiasi ionizing adalah bahan radioaktif yang menghasilkan sinaran alpha, beta atau gamma. Contoh lain yang biasa kita ketemui adalah alat X-ray.

Radiasi non-ionizing pula dengan tenaga yang lebih sedikit sebenarnya tidak merosakkan atom, tetapi menggangu ikatan atom dalam molekul. Contoh paling mudah adalah keadaan sunburn yang berlaku disebabkan oleh ultraviolet dari cahaya matahari. Gelombang lain dalam kategori non-ionizing adalah infrared dan microwave yang tidak mempunyai cukup tenaga untuk merosakkan ikatan atom, tetapi boleh menggetarkannya dan menghasilkan haba. Gelombang radio dan seumpamanya, dalam kumpulan radiasi non-ionizing tidak dianggap mengancam kesihatan manusia.

Apakah bentuk radiasi yang dihasilkan di menara telekomunikasi?

Radiasi yang terhasil di menara telekomunikasi tidaklah sehebat X-ray atau radioaktif. Radiasi yang terhasil adalah dalam bentuk gelombang radio yang beroperasi pada kadar 3kHz – 300GHz. Dalam kumpulan yang sama adalah pemancar radio, TV, telefon mudah alih, WIFI, cordless phone, radio polis dan tentera, P2P dan satellite. Radiasi yang terhasil dari peralatan telekomunikasi secara amnya lebih rendah berbanding isyarat radio dan TV. Radiasi dari radio frequency (RF) akan berkurang mengikut jarak dari sumbernya. Mengikut laman web rasmi Australian Radiation Protection and Nuclear Safety Agensy (ARPANSA), radiasi dari RF adalah terlalu lemah, bahkan lebih rendah dari tahap piawaian yang dibenarkan.

Kesan radiasi RF adalah pemanasan tisu, namun begitu RF yang digunakan dalam fasiliti telekomunikasi tidak mampu untuk memanaskan tisu manusia. Selain itu tidak terdapat bukti saintifik bagi menunjukkan ancaman RF terhadap kesihatan manusia. Hanya terdapat beberapa kajian dengan keputusan lemah yang mencadangkan hubungkait antara penggunaan telefon mudah alih dan cordless phone dengan penyakit kanser otak. ARPANSA sendiri ada menjalankan kajian tetapi tidak menemui sebarang kaitan antara penggunaan telefon mudah alih dan tumor otak.

Visual berkenaan tahap radiasi dari pelbagai sumber adalah seperti berikut.

Radiowaves dipaparkan sebagai radiasi non-ionizing dengan tenaga paling lemah.

Selain itu, International Agency for Research on Cancer (IARC) yang merupakan badan naungan WHO juga menetapkan bahawa tidak terdapat bukti kukuh bagi mengaitkan RF dengan kanser, dan ia hanya mengkelaskan radiasi RF sebagai “berkemungkinan menyebabkan kanser”, dan pengkelasan ini pula berdasarkan kajian ke atas penggunaan telefon mudah alih, bukan disebabkan oleh menara telekomunikasi.

Kajian lain dari kerajaan United Kingdom dalam tahun 2000 iaitu Independent Expert Group on Mobile Phones (IEGMP) juga membuat keputusan bahawa terdapat bukti bahawa radiasi dari menara telekomunikasi tidak membahayakan penduduk sekitar.

Di Malaysia, SKMM sebagai badan bertanggungjawab dalam hal ehwal komunikasi telah menjelaskan bahawa radiasi dari menara telekomunikasi adalah tidak merbahaya sama sekali. SKMM menggunakan rekomendasi dari International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP) berkenaan pendedahan terhadap radiasi ini seperti berikut:- 4.5W/m2 untuk frekuensi 900MHz, 9W/m2 untuk 1800MHz dan 10W/m2 untuk 2000MHz. Walaubagaimanapun hasil pemantauan SKMM secara purata menara telekomunikasi di Malaysia hanya menghasilkan 0.000093W/m2 iaitu masih rendah dari 0.001% dari jumlah yang dibenarkan.

Dengan ratusan kajian yang dijalankan diseluruh dunia dalam hal ini yang tidak menemui sebarang bukti bagi menghubungkan RF dan kanser, adalah tidak jelas mengapa masyarakat masih perlu gusar tentang impak negatif RF terhadap kesihatan mereka. Selain itu, sebarang langkah lanjut bagi menambah piawaian tambahan atau pemantauan lain ke atas menara telekomunikasi adalah tidak perlu dan jelas merupakan pembaziran sumber.

Rujukan:

  1. Australian Radiation Protection and Nuclear Safety Agency
  2. Cancer.org
  3. Health and Safety Executive, UK
  4. Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia

Shopping di DDShop.Online:
- gadget murah
- barang rare
- F&B halal Muslim
Lawat DDShop.Online dan alami pengalaman BARU!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *