Jujur

Lain orang lain falsafahnya tentang jujur. Ada yang kata jujur pada diri sendiri, jujur pada orang di sekeliling, jujur pada masyarakat. Tetapi ada sejenis orang yang memang paling pandai dan paling faham bab bahasa kejujuran – iaitu orang-orang politik semestinya. Mereka ini dapat memahami dengan lebih jelas berbanding kita rakyat biasa-biasa saja.

Tidak menipu – jujur.
Berkata benar – jujur.
Mengiyakan yang benar – jujur.
Menidakkan yang salah – jujur.

Dalam keadaan sedar, secara normalnya mana-mana manusia pun ingin menjadi jujur. Kerana fitrahnya manusia mahukan kecantikan dan keindahan…. dan jujur itu cantik serta indah. Tetapi kadang-kadang di bawah paras kesedaran biasa, kita tidak menjadi jujur.

1) Kes #1: mengetahui status sesuatu sumber rezeki yang mungkin tidak halal, sedangkan dalam masa yang sama sumber terlalu banyak yang tidak mampu ditolak. Sanggupkah kita meninggalkan kemewahan itu sekiranya kita tahu ia tidak halal? Atau kita akan jadi kreatif untuk cari jalan supaya kita dapat berpura-pura dan ingin percaya yang ia itu halal.

2) Kes #2: fanatik dengan fahaman politik/perkauman. Adakah kita jujur dengan mengiyakan segala yang benar dan menidakkan segala yang mungkar? Biasanya kita menuntut orang lain untuk jadi jujur, sedangkan sebenarnya kita sendiri tidak pun jujur dengan membenarkan diri kita memiliki fahaman fanatik dan melulu dalam sesuatu perkara.

3) Kes #3: menolak tanggungjawab sendiri. Oleh kerana gentar dengan pelbagai kemungkinan yang bakal menjelma, kita menolak tanggungjawab yang di amanahkan sementelah ada sedikit kuasa lantas meletakkan tanggungjawab itu kepada orang lain?

4) Kes #4: takut pada realiti. Enggan mengakui kesilapan diri sendiri.

Jujur ada banyak persepsinya, banyak keadaannya… tetapi matlamatnya hanya satu. Sekiranya semua orang jujur mungkin separuh dari masalah di dunia ini tidak pernah timbul.

Leave a Reply