Kebolehan tidak membuka kasut/stokin semasa mengambil wuduk

Pertama kali saya mendapat maklumat berkenaan menyempurnakan wuduk tanpa membasahkan kaki adalah melalui e-book “Fikah Luar Negara – Mudah Praktik Islam di Mana-mana” karya Maszlee Malik & Hamidah Mat. Maknanya wuduk boleh disempurnakan dengan hanya menyapukan sebahagian atas kasut tanpa membukanya.

Carian lanjut menemukan saya dengan blog Hafiz Firdaus. Mengikut artikel yang ditulis di sini berserta dengan rujukan yang diberi, kebolehan ini tidak tertakluk kepada waktu musafir atau kesusahan sahaja, tetapi boleh dilakukan sebilang masa dengan beberapa syarat.

Apa syaratnya?

1. Berada dalam keadaan berwuduk semasa memakai kasut berkenaan.
2. Berkasut/bersarung kaki hingga ke mata kaki (ada perbezaan pendapat).
3. Tempoh 1 hari bagi yang menetap, 3 hari bagi yang bermusafir.
4. Menyapu hanya bahagian atas kasut/sarung kaki.
5. Kebolehan ini terbatal sekiranya kita telah masuk dalam keadaan yang memerlukan mandi wajib.

Beberapa dalil:

“Hamman radiallahu-anhu menerangkan: Pada satu hari Jarir membuang air kecil sesudah itu dia berwudhu’ semula. Maka beliau menyapu kedua belah kasutnya. Kerana itu orang yang menyaksikan berkata: Anda melakukan sebegini ? Jarir menjawab: Ya! Saya melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam membuang air kecil kemudian berwudhu’ dan menyapu di atas kasut yang menutupi kedua mata kakinya.” – Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0155

“Mughirah bin Syu’bah radiallahu-anhu berkata: Aku bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam suatu perjalan lalu dia buang air kemudian berwudhu’ dan mengusap di atas kedua kasutnya. Aku bertanya: Ya Rasulullah apakah engkau lupa ? Beliau menjawab: Bahkan engkau yang lupa; Dengan inilah aku diperintah oleh Tuhanku Azza waJalla.” – Maksud hadith dari Sunan Abu Daud – no: 0144

(Visited 1 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may also like