Menu Home

Perkongsian cerita perjalanan Umrah kali pertama

Sebenarnya dah hampir setahun saya menyimpan hasrat nak menulis berkenaan catatan perjalanan umrah saya ini. Tujuannya bukanlah sebab apa-apa, cuma nak memperbanyakkan lagi perkongsian seperti ini di internet supaya dapat saya sedikit sebanyak membantu menyampaikan maklumat kepada yang memerlukan. Sebelum memulakan perjalanan umrah, saya tidak tahu langsung tentang apa yang bakal ditempuh. Bila hadir ke kelas yang dianjurkan oleh pihak agen, dapatlah sedikit pencerahan tetapi itupun belum dapat gambaran bagaimana keadaan di Madinah dan Mekah. Maklumlah kali pertama. Internet lah yang jadi rujukan. Sekarang giliran saya untuk membantu serba sedikit sekadar termampu. Harapnya dapatlah saya selesaikan tulisan malam ini.

Perjalanan saya bersama isteri bermula pada 11 Disember 2015 lebih kurang pukul 11 pagi dari KLIA menuju Jeddah. Tak silap saya perjalanan ambil masa lebih kurang 7 jam. Beza waktu dengan Malaysia adalah mereka lewat 5 jam.

null

(Sekitar suasana Jeddah Airport)

Kemudian kami dibawa menaiki bas menuju ke hotel di Madinah. Saya dapat melihat masjid Nabawi dari dalam bas sebaik menghampiri kawasan hotel. Rupanya kedudukan hotel memang sangat rapat dengan masjid. Masjid dikelilingi oleh hotel-hotel yang menempatkan tetamu tanah suci ini.

(Perkarangan Masjid Nabawi)

Lebih kurang pukul 11 malam waktu Madinah, saya cuba untuk memasuki Masjid Nabawi kali pertama secara solo. Terdapat banyak pintu pagar, saya suba yang paling hampir dengan hotel. Dari pintu pagar saya mencari pintu masjid. Inilah nasib orang kali pertama melawat Masjid Nabawi, pintu pun tak jumpa. Sebab? Sebab waktu dah lewat, kebanyakan pintu dah tutup. Jadi saya mengelilingi masjid dan akhirnya terjumpa satu pintu yang dibuka. Rezeki saya agak baik, rupanya ini adalah pintu paling hampir dengan makam Nabi dan juga taman Raudhah. Alhamdulillah.

Pertama kali masuk, saya tak pasti apa nama kawasan ini. Permintaan saya untuk masuk sembahyang ke ruang sembayang ditolak, rupanya di situlah Raudhah. Dapat dikenali dengan karpet berwarna hijau. Untuk masuk ke Raudhah perlu melalui pintu masuk khas, sebab itu permintaan saya ditolak oleh penjaga.

Hati dah berbuak-buak dengan kegembiraan! Pada ketika ini di Raudhah keadaan tidak begitu sibuk seperti yang saya pernah dengar dari rakan-rakan. Akhirnya Alhamdulillah dapat saya memasuki kawasan Raudhah. Rupanya di sini ada cara yang tersendiri untuk memasuki Raudhah. Beberapa penjaga akan menutup pintu Raudhah sementara orang yang terdahulu memasukinya sedang bersolat. Jadi yang terkemudian akan menunggu di depan pintu yang dikawal ketat oleh penjaga. Selang lebih kurang 10 minit, pintu akan dibuka. Maka menyerbulah kami yang menunggu ini masuk ke Raudhah dan mencari kawasan bersesuaian untuk solat. Masa yang diberikan tidak lama, lebih kurang 10 minit kita akan diminta keluar bagi memberi peluang mereka yang sedang menunggu di pintu masuk.

(Suasana di Raudhah)

(Pintu masuk ke Makam Nabi terletak antara Raudhah dan pintu keluar)

(Pintu paling hampir dengan Raudhah. Kelibat mereka yang sedang beratur dalam masjid sebenarnya sedang berada di hadapan pintu masuk ke Makam Nabi)

Saya balik ke bilik dan tak dapat tidur dengan nyenyak kerana rasa sangat excited. Masjid yang sebelum ini saya hanya dengar dari mulut orang lain dan pernah baca dalam buku pendidikan Islam di sekolah kini berada di depan mata. Inilah pengalaman terbaik yang saya perolehi.

(Keadaan dalam Masjid Nabawi sebelum waktu subuh)

(Bahagian paling hadapan dalam masjid tempat imam)

(Saya berada di antara karpet merah dan karpet hijau berdekatan Raudhah, suasana amat sesak dengan jemaah)

(Menjelang pagi payung gergasi di luar masjid telahpun dibuka)

Pihak agen iaitu CS Holiday melalui mutawwif yang dilantik membawa rombongan melawat sekitar Masjid Nabawi.

Kelihatan kubah berwarna hijau yang dikatakan di bawahnya adalah Makam Nabi.

Di sebalik dinding yang tinggi ini adalah pemakaman Baqi’ (Jannatul Baqi’) iaitu kawasan perkuburan yang sangat terkenal dalam sejarah Islam. Di sini dimakamkan sahabat-sahabat dan saudara Rasulullah, termasuk isteri-isteri dan anak cucu Baginda.

Suasana sekitar hotel dipenuhi dengan pelbagai kedai menjual barang keperluan. Bermacam keperluan ada di jual seperti pakaian atau kain ihram. Kalau tak sempat beli Malaysia, boleh beli di sini. Harganya lebih kurang sahaja.

Suasana selepas solat di pintu pagar masjid.

Peniaga menggunakan pelabagai cara untuk menarik minat pembeli. Kebanyakan peniaga boleh berbahasa Melayu/Indonesia dan boleh tawar menawar.

Di hadapan hotel Al Fayroz Shatta.

Menziarahi Masjid Quba. Dalam sejarah Masjid Quba ini sering dikunjungi oleh Rasulullah pada hari Sabtu. Masjid ini masjid tertua di dunia yang mana batu asasnya dimulakan oleh Rasulullah sebaik tiba ke Madinah dan diselesaikan oleh sahabat-sahabat.

Seterusnya kami dibawa melawat pasar kurma. Terdapat pelbagai jenis kurma dengan rasa yang berbeza.

Kemudian kami berkesempatan melawat Bukit Uhud di mana peperangan Uhud berlaku dalam sejarah Islam. Di sini syahidnya Saidina Hamzah dan ramai lagi sahabat-sahabat. Rasulullah sendiri mengalami kecederaan dalam peperangan ini. Di sebalik dinding besi ini adalah makam Saidina Hamzah. Dikatakan kawasan ini pernah mengalami banjir pada tahun 2003 dan jasad sahabat yang syahid dan tidak rosak telah muncul akibat banjir ini. Jasad-jasad ini kemudian dimakamkan semula.

Keindahan dalam Masjid Nabawi yang sempat dirakamkan.

Hari terakhir di Madinah. Saya dan rombongan bersiap dengan pakain ihram sebelum menuju ke miqat paling hampir dengan Tanah Haram. Tempat miqat ini adalah Masjid Bir Ali terletak 11km dari Madinah. Nama lain bagi Masjid Bir Ali adalah Masjid Syajarah (yang berarti pohon) dan Masjid Dzul Hulaifah. Jarak dari miqat ini ke Mekah lebih kurang 450km atau 4 jam perjalanan dengan bas.

Di perkarangan Masjid Bir Ali.

Bas berhenti rehat dan kami ambil peluang pekena air panas. Perlu berjaga-jaga kerana masih berada dalam ihram.

Akhirnya sampai ke Tanah Haram. Hotel yang diduduki adalah Mira Ajyad. Perasaan ketika ini tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Berdebar-debar. Kami akan meneruskan amalan seterusnya iaitu tawaf di Baitullah. Sekadar ulangan rukun umrah adalah niat di miqat, tawaf di Baitullah, saie’ antara Safa dan Marwah dan bertahalul (bercukur/gunting).

Saya akan sambung perkongsian ini keesokan hari. Nampaknya masa yang diperlukan untuk menyiapkan artikel ini lebih dari apa yang saya jangkakan.

———

Lebih kurang jam 12 tengah malam waktu Mekah, kami mula memasuki Masjidilharam. Suasana menjadi sedikit sebak kerana ada sebahagian jemaah tersentuh emosinya apabila menatap Baitullah buat kali pertama. Bagi saya ianya pengalaman yang menakjubkan. Inilah rumah Allah. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menjadi tamu-Nya. Kami melakukan tawaf dengan bimbingan dari mutawwif. Anggota jemaah diminta supaya bergerak secara berkumpulan semasa tawaf dan menjaga tertib tertentu supaya amalan ini dapat dilakukan dengan baik.

Selepas itu kami bergerak ke tempat permulaan untuk saei iaitu Bukit Safar. Dalam kepala saya sebelum tiba ke sini, mungkin jaraknya agak jauh. Tapi sebenarnya sangat dekat. Kami berjalan kaki bersama-sama ke Bukit Safar.

Ada sedikit pengalaman kelakar semasa amalan bercukur/bergunting. Sebaik selesai saie di Bukit Marwah saya merujuk ustaz/mutawwif tentang apa yang perlu dilakukan sekarang. Ustaz minta saya menggunting sedikit rambut. Saya sebenarnya terlupa nak bawa gunting, dalam terkial-kial mencari gunting, ada lah seorang hamba Allah menghulurkan gunting. Jadi saya gunting sedikit rambut saya dan juga isteri. Tiba-tiba hamba Allah berkenaan minta saya bayar 20 riyal kerana katanya satu kali 10 riyal, 2 kali 20 riyal. Kita ni dah la baru sampai, baru je lepas ihram maka saya turutkan sajalah. Tak sangka pinjam gunting pun kena bayar 20 riyal. Kemudian saya dapat tahu sebenarnya mereka ini mengambil kesempatan dari jemaah yang baru sampai. Jika dah kena sekali tentu kita akan beringat. Selepas itu saya sentiasa simpan gunting/pisau cukur dalam bag bukan saja untuk kegunaan sendiri, tetapi boleh juga dipinjamkan kepada jemaah yang memerlukan. Memang ada mereka yang memang lupa nak bawa. Setidaknya dapat elakkan yang lain jadi mangsa seperti saya.

Dalam perjalanan pulang saya singgah di kedai gunting dan bercukur. Sebenarnya tak mahu bercukur pun boleh, tapi alang-alang dah sampai ke sini selesaikan saja. Rambut boleh naik semula, pengalaman ke Mekah bukan selalu. Kos bercukur rambur sekitar 15 riyal sahaja.

Sebaik saya selesai bertahalul tadi sebenarnya telah lengkap rukun umrah saya yang pertama. Kata ustaz selepas ini terpulang jika mahu diulangi lagi melakukan umrah. Sudah tentu saya nak sangat mengulangi sebanyak mana yang mampu.

Untuk mengulangi amalan umrah ini, perlulah bermula dari rukun yang pertama iaitu berniat di miqat. Miqat yang mana? Jika dari Mekah miqat paling hampir adalah Masjid Tanaim atau juga dikenali Masjid Aisyah. Mengikut sejarah isteri Rasulullah iaitu Siti Aisyah pernah bermiqat dari masjid ini.

Suasana di luar Masjid Tanaim.

Masjid ini perjalanannya cuma kira-kira 20 minit jika berkereta. Oleh kerana umrah ini adalah ulangan, maka saya tidak lagi bersama-sama mengerjakannya dalam kumpulan. Jadi saya dan isteri mengambil teksi dari hotel. Tipsnya begini. Minta pemandu teksi hantar ke Masjid Tanaim, dan tambangnya jangan lagi dibayar. Sebaliknya selesaikan dulu dengan urusan kita di masjid seperti solat sunat dan niat ihram. Minta pemandu supaya tunggu hingga kita selesai. Tambang hanya dibayar setelah kita selamat sampai semula ke Tanah Haram untuk meneruskan dengan rukun yang lain. Tak silap saya tambang pergi balik ke Masjid Tanaim adalah 50 riyal.

Suasana di Bukit Marwah. Apabila kita melakukan rukun umrah dengan timing sendiri, maka kita ada kelonggaran untuk berehat dan sebagainya jika kepenatan. Di Bukit Marwah ini saya ambil sedikit masa untuk berehat dan solat. Mungkin ada yang bertanya kenapa bersolat di Bukit Marwah? Sebenarnya kebetulan masuk waktu Asar di sini, maka langsung sahaja bersolat berjemaah bersama di sini. Di sini lantainya memang telah diukir dengan garisan saf yang selari dengan Masjidilharam dan bacaan imam dapat didengar dengan jelas.

Suasana di Baitullah, waktu ini jambatan 2 tingkat sementara mengelilingi kaabah masih ada. Khabarnya telah diruntuhkan.

Saya juga sempat menyertai rombongan ke tempat-tempat bersejarah seperti Jabal Tsur. Di gunung inilah Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi dari kepungan pihak musyrikin.

Ustaz yang bertindak sebagai mutawwif kami memberi tazkirah sejarah penghijrahan Rasulullah ke Madinah. Kelihatan di belakangnya adalah Jabal Tsur.

Suasana di kaki Jabal Rahmah. Ustaz tidak menggalakkan kami mendaki Jabal Rahmah ini. Dikatakan Jabal Rahmah ini adalah tempat di mana Nabi Adam dan Siti Hawa bertemu setelah dipisahkan dari syurga kerana memakan buah terlarang.

Pada hari yang berlainan saya bersama sepasang lagi rakan jemaah mengambil keputusan untuk membuat lawatan sendiri ke Gua Hira. Di sinilah letaknya Jabal Nur di mana Rasulullah menerima wahyu pertama.

Dari sisi atas Gua Hira. Perhatikan dinding bercat hijau, di bawah situ tempat Rasulullah mengasingkan dirinya.

Selain itu kami turut di bawa melawat ke Muzium Mekah, pameran senirekabina masjid dan Masjid Hudaibiyah.

Kelihatan runtuhan Masjid Hudaibiyah yang lama. Inilah lawatan teakhir kami sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

Singgah di Corniche Commercial Center di Jeddah untuk berehat dan bersolat, sebelum ke airport.

Sekali lagi berhenti rehat di sekitar Masjid Ar Rahmah (Floating Mosque) di tepi Laut Merah.

Akhirnya kami sampai ke Jeddah Airport dan berangkat pulang.

Itulah serba sedikit yang dapat saya kongsikan semoga bermanfaat kepada yang perlu. Sekiranya terdapat sebarang keburukan dari cara penyampaian ini, saya mohon maaf atas kelemahan berkenaan.

Beberapa tips yang dapat saya kumpulkan untuk ‘siaran ulangan’ dalam bahagian penutup:-

1. Di Madinah/Mekah terdapat banyak barang keperluan yang dijual dengan harga berpatutan. Jangan panik sekiranya terdapat barang yang lupa dibeli atau tertinggal.
2. Aktifkan facility pengeluaran duit melalui ATM kerana kita tak tahu mungkin ada keperluan untuk withdraw duit di sana. Lagipun kadar tukaran melalui ATM lebih murah. Cara nak aktifkan kena buat panggilan kepada bank masing-masing sebelum bertolak.
3. Waktu saya pergi bulan Disember, cuaca sedikit sejuk tapi tidak melampau.
4. Terdapat banyak kemudahan air minuman disediakan dalam dan di luar masjid.
5. Boleh berunding dengan pemandu teksi untuk perkhidmatan mereka.
6. Sebelum ni saya tak tahu: umrah boleh dibuat berkali-kali mengikut kadar kemampuan. Ada yang 1 kali sehari ada yang 2 kali sehari.
7. Dapatkan 2 nombor telefon Saudi, 1 untuk anda dan 1 untuk pasangan. Mudah untuk berhubung terutama jika terpisah semasa memasuki masjid. Saya gunakan dari syarikat Mobily yang ada unlimited internet, harga pun tak mahal.
8. Dapatkan tali pinggang yang ada kocek besar, supaya boleh anda simpan passport dan dokumen lain di dalamnya.

Selamat berangkat ke Tanah Suci, semoga urusan anda yang membaca tulisan ini dipermudahkan.

Categories: General

Basri MY

2 replies

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *