Buat rumah sewa? Jangan indah khabar dari rupa.

Kita boleh berkongsi serba sedikit pengalaman membeli beberapa rumah untuk dibuat rumah sewa, bilik sewa atau homestay. Mungkin saya kurang arif, maka banyak hal-hal yang berlaku agak memeningkan kepala. Orang kata dari takde masalah, pergi cari masalah. Saya respect pada mereka yang boleh handle hal-hal berkaitan property mereka dengan baik. Ada yang boleh mengumpul sampai berpuluh-puluh rumah dan dapat menguruskan dengan baik. Ini adalah orang-orang yang terpilih.

Saya tidak sampai berpuluh pun, tapi peningnya hanya Tuhan yang tahu. Kalau lah jual rumah ni macam jual telur ayam, hari ni pun saya nak jualkan semua yang disewakan ni dan hidup ‘bebas rumah sewa’.

Di awal penglibatan dulu, saya hanya ada sebuah rumah yang disewakan. Itupun bermacam masalah yang berlaku. Pengalaman penyewa liat nak bayar sewa, itu adalah masalah sejagat. Kalau sewa Astro, orang boleh bayar cepat sebab bimbang tak dapat nak layan drama petang-petang, tapi kalau rumah sewa apa orang nak kisah sangat? Lewat sehari dua takkan tak boleh kot? Nasib lah sehari dua, selalunya berminggu-minggu dan ada yang sampai berbulan.

Liat nak bayar sewa satu hal, dan liat nak kosongkan rumah bila dah diberi notis pengosongan. Tuan rumah nak buat apa? Takkan nak seret penyewa keluar dari rumah. Nak rantaikan pintu? Jadi masalah lain pula.

Bila dah keluar rumah, ada lagi barang-barang yang penyewa sengaja tinggalkan. Masa ni kalau duit deposit dah habis maknanya kena keluar duit poket sendiri la nak upah kerja pembersihan dan buang sampah seperti kusyen buruk, spare parts kereta dan sebagainya. Paling besar barang yang ditinggalkan di rumah saya adalah bergulung-gulung kabel. Tak buruk muka nak hadap semua tu?

Kemudian saya ada pengalaman lagi beri sewa kepada satu keluarga. Saya kira mereka ni agak hipster kerana suami-isteri adalah geng motor laju ni. Hujung minggu layan motor dan anak-anak saya tak tahu dia tinggal kat mana. Nak naik motor saya tak ada sebarang isu. Tapi si suami suka sangat repair moto dalam rumah. Kadang-kadang sampai pukul 12 malam dia masih start motor dalam rumah dan test enjin.

Selain dari suka motor, si suami ni suka menebuk dinding walaupun dalam agreement dah jelas tertulis ‘jangan tebuk dinding’ tanpa izin. Paling akhir sebelum saya hilang sabar, dia tebuk dinding luar rumah saya pada paras ketinggian dada untuk pasang piring Astro. Bukan sekali tebuk, 2 kali tebuk sebab tebukan pertama tu tak jadi. Hati tercalar dan tercabar. Mungkin dia sengaja buat semua tu supaya dihalau dan tak perlu nak bayar baki komitmen sewaan.

Orang macam ni, dia tak fikir masa peringkat negotiation, dia minta macam-macam saya sediakan. Dia minta saya repair itu ini, minta washing machine baru, minta peti ais yang besar sikit dari yang dah ada, dan minta air cond untuk ruang tamu. Semuanya saya sediakan dengan duit poket saya. Sebelum sempat balik modal dia dah buat hal macam-macam. Memanglah barang-barang tu jadi hak saya, tapi kalau bukan kerana dia mengaruk request itu dan ini, saya tak perlu pun beli itu semua dan menanggung bayaran yang banyak semata-mata nak dapatkan penyewa biadap seperti dia. Tengku K******, if you are reading this you know what have you done! Peristiwa ni dah lama berlaku, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Kemudian saya ada pengalaman dengan seorang penyewa bilik wanita. Dia ni asalnya tak ada sebarang masalah. Cakap lemah lembut, kadang-kadang sampai tak berapa dengar sebab kelembutan tu. Dah kahwin, tapi saya tak tahu kenapa dia masih menyewa bilik sedangkan suami dia pun ada di sini juga. Tapi tak apalah, itu bukan masalah saya. Masalah saya mula timbul bila dia bercuti beberapa bulan untuk bersalin dan balik ke kampung. Dia tetap bayar, cuma pada bulan terakhir agak lambat. Saya tak kisah sangat sebab dia dah maklum pada saya. Jadi dia pun datang masuk ke bilik selepas beberapa bulan tak masuk bilik. Sebelum tu memang saya ada masuk ke bilik dia untuk buat kerja maintainance wiring. Kebetulan bilik dia adalah tempat laluan ke siling, saya terpaksa masuk ke bilik dia yang kosong waktu itu. Notis pun dah saya tulis dalam group wasap memaklumkan kerja maintainance perlu dilakukan.

Jadi petangnya dia masuk ke bilik. Malam tu saya dapat berbakul-bakul mesej dari wanita ‘lembut’ ini memaki hamun saya kerana dituduh menceroboh bilik dia. Dia marah saya kerana menceroboh, mengotorkan katil dia, dan meninggalkan satu seluar jeans lelaki. Saya mengucap. Apa yang dia katakan tu semua saya tak buat. Saya cuma buka pintu bilik, letakkan tangga, dan naik ke siling. Memang saya perasan ada sepasang seluar jeans di atas lantai, tapi saya tak ambil peduli pun sebab saya fikir itu kepunyaan dia. Bilik penghuni lain pun kadang-kadang saya terpaksa masuk untuk tukar mentol lampu dan sebagainya, itupun saya lakukan selepas beri notis dan semasa tiada penghuni. Sewa taklah mahal mana, dan untuk menerima makian atas apa yang kita tak buat, siapa yang sanggup? Moral of the story, jangan sangka beri sewa pada wanita ni lebih mudah berbanding lelaki.

Di satu ketika, saya memberi sewaan kepada beberapa orang polis. Peringkat awal semuanya lancar. Tapi selepas setahun, mereka ni mula liat nak bayar sewa. Saya terpaksa meminta-minta macam pengemis. Nak kata tak ada duit, mustahil sebab kerja makan gaji, kerja kerajaan pulak tu. Satu ketika wakil yang selalu buat bayaran ke oversea, hampir dua bulan. Sepanjang tempoh tu mereka tak maklumkan apa-apa dan buat bayaran. Akhirnya saya minta mereka keluar. Itupun dah macam nak bergaduh. Dengan usia yang tak berapa muda ni, sanggupkah kita nak layan benda-benda macam ni lagi? Moral of the story, jangan sangka orang makan gaji tak akan beri masalah pada tuan rumah.

Paling baru pengalaman saya dengan sekumpulan anak muda. Umur sekitar 20an dalam 5 orang. Masa nak menyewa manisnya ayat macam gula. Sanggup datang malam-malam untuk bayar deposit bersungguhnya nak menyewa rumah. Saya tengok mungkin kerja sebagai kontraktor, ada syarikat sendiri. Selepas setahun mula liat nak bayar. Mesej tak balas, call tak pickup. Bila saya jengah rumah depan pagar, dia boleh jawab tak ada pun call masuk. Selepas puas saya follow up sewa, saya beri notis. Tapi dia pandai berjanji akan bayar awal dan keadaan agak baik untuk tempoh sebulan dua. Selepas tu dia buat hal lagi. Saya beri notis suruh keluar sekian tarikh. Bila sampai waktunya saya pergi nak ambil kunci, elok je masih ada kat situ dengan perasaan tak bersalah. Semasa saya dok bincang dengan wakil dia, siap dua tiga orang pura-pura keluar dari bilik buat-buat main telefon dan jeling-jeling pada tuan rumah, konon nak ajak bergaduh lah kot. Budak-budak darah muda begitulah, tapi kita yang lebih tua tak payah nak melayan sangat. Saya tanya bila boleh keluar dan dia minta tempoh sebulan lagi. Saya kata boleh tapi dengan syarat bayar dulu sebulan dan keluar bulan depan, sebab deposit sebulan saya nak pegang in case of kerosakan rumah. Jadi dia keluar rumah seperti yang dijanjikan, tapi macam biasalah, segala sampah sarap dan barang-barang hardware tak dibuang. Takpe, jangan harap nak dapat duit deposit ni sebab kos pembersihan pun kena kira. Bil utiliti pun belum tengok secara detail.

Sekarang ni saya ada penyewa bilik wanita bukan Muslim. First day masuk saya dah inform rules, termasuk jangan bawa lelaki dan jangan susahkan penyewa lain. Tak makan saman. Penyewa lain komplen dia keluar rumah tak kunci pintu. Membahayakan. Bila diminta keluar, macam-macam alasan dia beri dan buat ayat-ayat kesian.

Shoplot pun sama. Jika anda fikir orang meniaga boleh bayar cepat, anda silap juga. Orang meniaga kalau boleh dia nak lewatkan pembayaran. Saya masih strugle dengan penyewa kedai saya untuk dapatkan bayaran setiap bulan.

Saya pernah buat homestay. Challenges nya berlainan sebab kita tak payah susah-susah minta bayaran. Pelanggan akan bayar upfront. Tapi masalah lain tetap ada. Ada satu ketika selepas checkout, saya memeriksa rumah. Patah riuk katil dalam master bedroom. Korang ni datang tidur ke melompat atas katil? Saya terpaksa cover kerosakan dan tak dapat apa hasil pun.

Ada sekali tu semasa memeriksa rumah, penyewa homestay saya ni agaknya terlebih pandai. Habis semua lampu dinding mereka buka dan begitu juga kotak plug elektrik. Apa tujuan saya tak pasti.

Saya juga pernah berkejar dari kampung balik ke Kuantan sebab lupa nak tutup booking di Agoda. Jadi tengah elok berehat dikampung, ada panggilan dari pelanggan yang minta kunci. Kadang-kadang kita tak sempat mencuci, sebab orang yang checkout keluar lewat, dan yang nak checkin minta masuk awal.

Paling haru dengan homestay ni, ada satu keluarga. Dia baca iklan saya boleh memuatkan 10 orang. Sudah tentu. Tapi rumah saya memang dah ditulis kat situ cuma ada 3 bilik dan 3 katil. Jadi bila datang 10 orang, dia siap marah-marah minta saya sediakan tilam untuk 10 orang. Jadi kita akan jumpa pelbagai jenis orang yang kadang-kadang benda basic pun tak boleh nak difahamkan. Memuatkan 10 orang dengan memuatkan 10 katil adalah benda berbeza.

Sebenarnya tak larat nak menghadap benda-benda ni. Dan saya terfikir kembali kenapa saya masih nak menghadapnya sedangkan saya ada pilihan lain. Insyallah saya akan susun atur semula dan lepaskan satu persatu. Uruskan rumah sewa ni, kadang-kadang terlebih hype konon banyak property. Saya bukan nak berbangga pun. Hasil tak seberapa, pening je lebih. Cukup-cukup lah.

3 thoughts on “Buat rumah sewa? Jangan indah khabar dari rupa.

  • 13/03/2018 at 6:52 pm
    Permalink

    pening juga bila baca entry ko ni…. mcm2 masalah kan… takut lak aku… nasib baik ekonomi x mengizinkan lagi utk tambah rumah hehe

    Reply
    • 13/03/2018 at 8:39 pm
      Permalink

      aku pun tak banyak. ini pun dah pening. mungkin approach tak kena.

      Reply
      • 13/03/2018 at 11:14 pm
        Permalink

        nasib tak baik kot. maybe kena letak syarat2 yg lebih ketat mcm deposit kerosakkan ke. Bila rumah dipulangkan dlm keadaan elok baru pulang deposit kerosakkan tuh. Aku masa menyewa dulu kena standby extra RM500-800 utk deposit kerosakkan on top 2 + 1 punya deposit sewa bulanan tak termasuk api air.

        Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *