Hadis berkenaan solat jamak

Terdapat pelbagai pendapat berkenaan solat jamak iaitu bersolat Zohor & Asar, atau Maghrib & Isyak dalam satu waktu. Pun begitu saya pernah terbaca dulu tentang hadis Nabi tentang Baginda bersolat jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan. Saya cari semula sebutan hadis berkenaan dan terjumpa laman Facebook Dr. Maza.

Begini;

JAMAK KESUNTUKAN MASA
Soalan: Dr, bolehkah seseorang yang amat tertekan dengan kesuntukan masa, seperti peperiksaan yang memakan waktu yang panjang, ataupun tugasan yang tiada ruang untuk ditinggalkan untuk dia menjamakkan solatnya? Imran, Penang.
Jawapan Dr MAZA: Supaya tidak terkeliru, fahaman senarai perkara berikut;
1. Terlebih dahulu diterangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak.
2. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat.
3. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan untuk jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ini seperti hujan, ketakutan ancaman, kesibukan melampau dan seumpamanya.
4. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor ataupun maghrib dalam waktu Isyak iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr, ataupun selepas tiga rakaat maghrib ditunai empat rakaat Isyak. Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara menangguhkan Zohor ke waktu Asar, ataupun pada waktu Isyak dengan cara ditangguhkan maghrib ke waktu Isyak.
5. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:
صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِه
“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:
جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ
“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.
Hadis ini menunjuk solat jamak telah Nabi s.a.w tunaikan bukan hanya disebabkan hujan ataupun ketakutan, juga disebabkan hal-hal yang lain.
6. Maka, hadis-hadis yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.
7. Justeru, hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang telah ditetapkan. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika menyukarkan maka ketika itu diizin.
8. Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut). Maka ini bukan perkara baru, kelonggaran ini bagi membolehkan semua pihak dalam apa keadaan pun tetap menunaikan solat.

Laman sebenar di sini.

Namun begitu terdapat pendapat berlainan tentang jamak tanpa sebab di sini, yang mana penulis iaitu Umar Muhammad Nor membahaskan jamak tanpa sebab sebenarnya tidak mempunyai dalil. Perbahasan yang senada juga ada di sini.

Tambahan info.

Dalam bacaan seterusnya, di blog Fiqh & Sunnah, terdapat penghuraian lebih jelas tentang perbuatan menjamak solat tanpa disebabkan ketakutan atau hujan.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya – hadis no: 705]

Ibnu Abbas adalah sahabat Nabi, dan pernah didoakan 2 kali oleh Nabi supaya ia menjadi orang yang sangat memahami Al-Quran. Bacaan berkenaan Ibnu Abbas di sini.

Selain itu, rujuk juga pendapat dari Mufti Kuala Lumpur di sini. Pendapat yang mengatakan boleh menjamak solat bagi orang bermukim adalah pendapat Ibn Sirin, Rabi’ah, Asyhab, Ibn al-Munzir, al-Qaffal al-Kabir dan dihikayatkan oleh al-Khattabi daripada jamaah daripada ashab al-Hadith. Asyhab daripada kalangan al-Malikiyyah, Ibn al-Munzir daripada kalangan al-Syafi’eyyah, Ibn Sirin dan Ibn Syubrumah berpendapat bahawa dibolehkan jamak jika diperlukan selagi mana tidak dijadikan adat kebiasaan.

Telah solat Rasulullah SAW zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya. (Riwayat Muslim 705)

Prev PostQasar mengikut 4 mazhab/imam
Next PostCCTV Kuantan

Leave a reply