Antara Salam & As Salam

wp-1465273156051.png

Aplikasi Whatsap memang berguna, sebab boleh berhubung dengan rakan-rakan lama dan bertukar maklumat. Maklumat yang baik dan juga yang tidak. Baru-baru ini saya menerima satu gambar dan pesanan berbentuk keagamaan. Gambar terpapar wajah tokoh agama Datuk Harun Din (apa tujuan sebenar gambar beliau digunakan saya tidak pasti). Mesej berbunyi:

Amaran!!! Untuk Umat Islam. Jangan guna “Salam” kerana “Salam” bermaksud “celakalah kamu”. Gunakan perkataan “As Salam” sebagai singkatan bagi “Assalamualaikum”. Jangan guna “Bye” kerana “Bye” adalah jarum sulit Kristian yang bermaksud “Di bawah naungan Pope”.

Jangan guna “A’kum” kerana “A’kum” bermaksud “binatang” dalam bahasa Yahudi. Jangan guna “Semekom” kerana “Semekom” bermaksud “Celaka kamu”. Tolong forward kepada umat Islam yang lain, untuk elakkan diri dari membuat dosa…

Saya jadi suspen adakah benar salam bermaksud celakalah kamu. Oleh kerana kita mendengar fitnah melalui teknologi, kita gunakan tekneologi untuk lawan fitnah itu semula. Saya buat carian dan mendapati ada hamba Allah telah pun menjawab isu ini, saya ambil sedikit keratan (bacaan penuh sila ke link):

Terjemahan ayat yang lengkap seperti berikut: (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): “Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ‘ Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! ” (Az-Zukhruf 43:89)

Salam maksudnya selamat, dalam terjemahan ayat ini, “salam” bermaksud ucapan selamat tinggal, namun ia tetap sebagai doa keselamatan bagi mereka, agar di suatu masa mereka yang engkar itu akan sedar. Ini dikategorikan oleh ulama tafsir sebagai salam al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal. Sementara salam bagi orang-orang mukmin disebut sebagai salam at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.

Mana boleh kita mengajak orang ramai agar jangan guna kalimah salam, sedangkan salam merupakan salah satu asmaul husna, dan banyak ayat-ayat yang menggunakan perkataan salam untuk mengucap takzim kepada para Nabi. Malah perkataan SALAM itu dari Allah SWT.

Contoh penggunaan perkataan salam dalam Quran:

Salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58)

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisaa’ 4:86)

Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Selamat sejahtera kepadamu!” Ia berkata: “Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu”. (Al-Hijr 15:52)

Dengan kata lain, perkataan Salam sebenarnya boleh digunakan.

Artikel larangan penggunaan perkataan salam ini saya dapati telah wujud sejak 2011 atau lebih awal lagi. Marilah kita berazam untuk buat rujukan terlebih dahulu sebelum memanjangkan sebarang mesej, bagi menunaikan tanggungjawab kita pada diri sendiri.

Wallahualam.

Prev PostRoadtax & cover note hari yang sama di MyEG
Next PostGambar profile dalam keputusan carian Google

3 Comments

Leave a reply