Pecah Tanah East Coast Rail Link (ECRL)

Semalam hari Rabu 9 Ogos 2017, saya bertuah kerana dapat menyaksikan detik bersejarah negara ke arah pemantapan sistem pengangkutan negara. Majlis pecah tanah dirasmikan oleh PM Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib. Turut hadir MB negeri-negeri terlibat iaiti MB Pahang, Terengganu dan Kelantan.

ECRL dikatakan akan mengambil masa selama 7 tahun untuk disiapkan. End-to-end adalah dari Gombak ke Pengkalan Kubur. Dalam fasa pertama yang akan disiapkan sekitar 2021, ianya termasuk stesen Kotasas yang paling hampir dengan kediaman saya.

Sungguhpun projek ini menerima banyak kritikan, pada saya projek ECRL adalah pilihan terbaik yang kita ada. Masa perjalanan yang dipendekkan dari Pengkalan Kubor ke KL sekitar 4 jam. Ia mampu membawa 600 penumpang dalam satu masa.

Sebenarnya negeri-negeri pantai timur amat memerlukan sistem logistik secanggih ini. Bagi anda yang membesar di di zaman LRT, monorail, ERL dan sebagainya mungkinlah memandang sinis projek ECRL kerana dari sudut politik dikatakan membazir wang rakyat, penjajahan oleh negara China dan sebagainya, tetapi secara jujurnya bagi saya sistem pengangkutan seperti ini adalah satu langkah yang tepat.

Di Kelantan buat masa sekarang, sistem pengangkutan yang ada tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan zaman dahulukala semasa saya masih belajar di sekolah menengah. Sampai sekarang, kita masih fobia untuk berjalan melawat saudara-mara semasa musim hari raya kerana lemas dengan kesesakan jalanraya.

Benar seperti kata pengerusi Malaysia Rail Link, Mohd Irwan Serigar, dulu perjalanan dari Kota Bharu ke KL mengambil masa berhar-hari. Itu zaman Mohd Irwan. Zaman saya pun tak banyak berubah. Dari Gua Musang ke KL saya perlu mengambil masa sehari suntuk bermula dengan bas ke Kuala Lipis, sambung dengan bas lain ke Raub, kemudian ke Bentong seterusnya ke Kuala Lumpur. Dan apa bezanya dengan zaman sekarang? Di tempat asal saya sistem logistiknya masih tidak berubah. Malah jambatan Pulau Setelu yang roboh dibaham banjir sekitar 2014 sehingga sekarang masih belum dibaiki, yang ada cuma jambatan sementara yang kadang-kala tak boleh dilalui bila musim hujan.

Itu adalah realiti sistem pengangkutan di pantai timur. Jadi jika ada anak bandar yang kata ECRL tak diperlukan, sedarilah tak semua orang beruntung untuk hidup di Kuala Lumpur yang serba moden. Sungguhpun ECRL tak menjengah ke kampung saya di Gua Musang, sekurang-kurangnya jika ia dapat memberi impak kepada sebilangan besar penduduk pantai timur pun sudah dikira baik.

Prev PostCerita ASB lagi
Next PostKetahui tarikh lahir Islam dan umur anda yang sebenarnya

Leave a reply