Hero sebenar – Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi

Perginya pelajar sekolah tahfiz persendirian, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi kembali ke rahmatullah membuka mata banyak pihak dalam aspek keselamatan di sektor pendidikan kita. Berdasarkan aduan keluarga mangsa, Thaqif dipukul dikakinya oleh pembantu warden asrama oleh sebab-sebab tertentu. Mangsa minta dipindahkan sekolah. Tetapi agak terlambat, beliau telah mengalami jangkitan kuman pada kaki yang menyebabkan kedua kakinya dipotong di hospital. Sebelum mangsa meninggal dunia, beliau dijadualkan untuk dipotong tangannya juga oleh kerana jangkitan yang sudah parah. Tuhan lebih menyanginya, beliau telah pergi buat selamanya. Aduhai Thaqif, betapa dirimu yang terlalu muda menanggung kesan dari onar orang-orang dewasa yang sepatutnya menjadi pelindung.

Ini cerita yang sangat sedih untuk kita dengar. Kisah Thaqif adalah kesedihan bagi keluarga terdekat beliau, dan rakyat Malaysia secara amnya. Namun saya percaya kisah ini membawa rahmat bagi rakan-rakan seperjuangan beliau yang ditinggalkan. Agar tidak ada lagi ‘Thaqif’ yang kedua, maka sudah semestinya sistem persekolahan berkenaan perlu diteliti dengan sebaik-baiknya. Kelemahan-kelemahan yang ada dalam aspek pengambilan pekerja, aspek kawalan di asrama, disiplin dan rutin pengajian perlu mengikut tahap piawaian tertentu.

Saya tertanya-tanya, sudah berapa lama siri penderaan ke atas kanak-kanak seperti ini berlaku di sekolah berkenaan? Sudah berapa ramai kana-kanak yang tersiksa fizikal dan mentalnya oleh kerana sistem pelajaran berkenaan? Adakah sistem pelajaran tahfiz memerlukan penderaan begini untuk mendisiplinkan pelajar mereka?

Mungkin kejadian ini adalah jalan keluar bagi rakan-rakan Thaqif yang lain, yang turut sama diperlakukan sepertinya. Ini adalah petunjuk untuk membuka mata pihak-pihak tertentu agar memberi perhatian sewajarnya kepada perkara yang selama ini dianggap remeh. Dengar katanya sekolah ini tidak didaftarkan, tetapi ia beroperasi seperti biasa. Apakah konsep ‘demi agama’ maka beberapa peraturan diabaikan?

Pihak hospital akan membuat rumusannya kelak, tetapi buat masa ini kita memang tahu penderaan telah berlaku dan suspek kejadian juga telah ditahan. Samada mangsa maut disebakan penderaan ini, ataupun oleh sebab-sebab penyakit lain, kita tidak dapat nafikan kisah Thaqif telah membuka sudut hitam pendidikan disekolah-sekolah seperti ini. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan perkara ini dapat diadili, disiasat dan dibuat penambahbaikan kepada sistem sediada demi mengelakkan kisah ‘Thaqif’ yang kedua.

Adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, damailah kamu di sana. Semoga jadi pengajaran buat kami yang masih ada.

Prev PostMenguatkan bacaan dalam solat - adakah digalakkan?
Next PostJudi dalam golf (part 1)

Leave a reply