Jom Merusuh

Jumaat yang lepas saya solat Jumaat di sebuah masjid di Kuantan. Seronok mendengar khutbah jumaat, yang saya kira disampaikan dengan cara yang sangat baik. Bersemangat. Hidup. Saya yang agak hampir terlelap pun turut bersemangat mendengar kata-kata dari khatib. Sangat bagus, alhamdulillah. Jarang terjumpa khatib yang mampu bercakap seperti ini di masjid-masjid lain. Insyallah, jika ada peluang saya akan cuba menghadirkan diri ke masjid yang sama pada hari yang lain pula.

Khutbah jumaat adalah berkenaan memerangi kezaliman. Semua bentuk kezaliman haruslah ditolak, termasuklah penahanan tanpa bukti dan perbicaraan.

Kata khatib, selemah-lemah penolakan ialah dalam hati. Tunjukkan rasa marah, rasa tidak puas hati kamu kepada mereka yang melakukan kezaliman. Mereka yang teraniaya dibenarkan dalam peruntukan syarak untuk menggunakan kekerasan, dan boleh juga menggunakan kata-kata yang kesat. Maka keluarlah beramai-ramai untuk menunjukkan rasa marah itu.

Saya tidak expert dalam ilmu agama seperti khatib, tetapi saya mungkin berhak untuk menapis maklumat yang saya terima. Sekurang-kurangnya untuk diri saya dan juga keluarga.

Sebaik-baik manusia adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda lah yang perlu dijadikan contoh dalam kehidupan kita. Contohi Baginda dalam menempuh musibah dan dugaan. Kesabaran yang amat hebat, jika tidak dapat mencapai ke tahap itu pun, mungkin kita boleh mencuba mendapatkannya barang sedikit.

Emosi yang membuak-buak, perasaan tertindas dan ingin membalas dendam, mungkin bukan lagi ditunjangi oleh perjuangan yang sebenar. Mungkin ianya sudah didominasikan oleh nafsu dan syaitan. Tunjukkan rasa marah, mungkin bukan dengan cara berdemo. Mungkin dengan membuktikannya di atas kertas undi. Meletakkan seseorang sebagai zalim dan bertegas untuk menghukum, tanpa memahami perkara sebenar, mungkin kezaliman yang lebih besar itu sebenarnya terletak pada diri kita.

Mungkin kita masih terkonkong dalam pemahaman di bawah tempurung sendiri. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Prev PostMansuh PPSMI - Menapak ke belakang
Next PostDeja Vu & Psikik

Leave a reply