Pengikut yang buta & tuli

Dulu aktiviti menghentam (dalam erti kata lain adalah mengumpat) biasanya dilakukan di kedai kopi. Sekarang pun masih lagi berlaku di kedai kopi, tetapi lebih advance kita dah mampu bawak dalam versi siber. Di blog, chit-chat dan perbincangan online.

Tulisan tidak berintonasi. Jadi terpulang kepada pembaca bagaimana nak memberi interpretasi kepada sesuatu tulisan. Yang biasa kita lihat di forum perbincangan online adalah kecenderungan untuk menghentam dalam hal-hal politik. Tak kiralah, menghentam kerajaan atau menghentam pembangkang, semuanya ada.

Arena siber tidak mengenal sempadan, bangsa, umur mahupun kelayakan… yang terbentang luas adalah peluang untuk memberi ekspresi dan untuk difahami. Topik yang berat turut sama dibincangkan oleh muda-mudi..bodoh dan pandai. Tidak ada kasta. Topik seks? Lebih hebat lagi kecenderungan seseorang untuk turut serta tanpa rasa segan-silu. Dunia siber yang bisu dan tidak ada perasaan malu.

Dalam kepompong golongan tertentu, biasanya kecenderungan seseorang adalah untuk memihak kepada pihak ‘selamat’, iaitu pihak yang mendominasi kawasan berkenaan. Jika ada yang berani melawan arus, terkial-kial lah nak melepaskan buah pukulan pihak lawan.

Dari satu segi budaya ini ada baiknya, menggalakkan perbincangan dan melahirkan idea-idea baru. Tetapi kesan buruknya pula, akan lahir golongan pengikut seperti kakak tua ada lidah tetapi tidak ada hati dan fikiran. Mereka pandai bercakap tetapi jarang menggunakan akal.

Lahirnya politik kebencian menggantikan politik untuk kebaikan. Perselisihan pendapat itu sendiri sebenarnya bagus, kerana di situ adanya peluang untuk berkomunikasi dan memberikan penjelasan. Dari situ mungkin timbulnya pemahaman.

Tetapi politik kebencian adalah politik kakak tua. Aku benci begitu, aku benci begini… jadi apa solution alternatif? TIDAK ADA. Macam mana nak mengadakan solusi alternatif jika diri sendiri tidak memahami apa yang dibencikan itu. Benci aku kerana kawanku membenci. Benci aku kerana bapakku membenci. Benci aku kerana rakan-rakan siber yang lain membenci. Tetapi apakah bendanya? Apakah susur galur ceritanya..aku sendiri tak tahu.

Kakak tua!

Prev PostMyPicasaWeb - PicasaWeb to Facebook Bridge
Next PostJika anda seorang perokok

Leave a reply