Skim Cepat Kaya – tanggungjawab bersama

Skim Cepat Kaya
(Gambar hiasan – dalang skim cepat kaya SBVI Trust biasanya menganjurkan majlis makan malam sebagai umpan mencari pelabur baru)

Kes-kes penipuan berasaskan skim cepat kaya umpama tidak ada sebarang penyelesaian. Semakin hari semakin ramai kalangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa. Kerugian melibatkan jumlah wang yang sangat banyak. Dari kerugian ini, sudah tentu ada cerita-cerita sedih yang tersembunyi bersamanya.

Ada mangsa yang mungkin buat pinjaman dari bank, atau pinjam dari saudara mara semata-mata nak memberanikan diri untuk mengubah nasib. Ada yang membelanjakan wang simpanan berpuluh tahun lamanya. Ada yang menggunakan hasil pengeluaran dari skim persaraan.

Bagi penganjur skim cepat kaya, tentunya hati mereka dah terlalu keras seperti batu, yang tak akan bisa dilembutkan dengan cerita kesedihan tadi. Asal dapat dilipat, maka dilipat mangsa mereka tanpa rasa belas kasihan atau sedikit rasa penyesalan.

Pada pendapat saya terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan dibawa berbincang. Tidak semudah menuding jari menyalahkan sesiapa, hakikat skim cepat kaya adalah penyakit masyarakat yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab dari semua, samada badan kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan.

Desakan Hidup

Jika diberi pilihan, tiada sesiapa yang mahu menjerumuskan diri dalam masalah skim cepat kaya. Tetapi cabaran hari ini bagi mereka yang menanggung keluarga amat berat. Dengan kos kenaikan harga barang makanan, petrol dan kos saraan seperti penjagaan anak dan pendidikan, sudah tentu ketua keluarga akan cuba apa saja yang termampu, termasuk skim cepat kaya. Kerana di situ adanya harapan, walaupun kebanyakan harapan akan musnah jadi penyesalan. Tetapi demi survival, ramai yang masih sanggup untul mencubanya.

Undang-undang yang Longgar

Jika anda pernah jadi mangsa skim cepat kaya, anda pasti sedar undang-undang yang ada di sini Malaysia ini belum cukup hebat untuk melindungi rakyatnya. Sebelum menuduh mereka yang jadi mangsa sebagai tamak, fikirkan dahulu apakah bentuk perlindungan yang disediakan kepada rakyat? Adakah setiap kes penipuan yang dibawa kepada polis diberi perhatian yang sewajarnya? Atau oleh kerana beban yang banyak, maka pihak polis perlu jadi selective atau pilih bulu dalam menjalankan tugas? Apakah perkara yang diperlukan oleh pihak polis bagi memastikan setiap aduan mendapat perhatian?

Masyarakat Materialistik

Masyarakat adalah kita. Ia berasal dari seorang individu. Sikap kita terlalu menyanjungi pencapaian kebendaan sehingga kita lupa tidak semua orang bernasib baik. Sanjungan kita pada percutian hebat luar negara, kereta mewah, rumah yang besar dan pendapatan bulanan puluhan ribu. Semua ini membentuk satu tekanan kepada masyarakat, dan dari tekananlah wujud keperluan untuk menjerumuskan diri dalam kitaran ekonomi yang kurang sihat.

Persepsi Luaran

Masyarakat mudah dikelirukan dengan penampilan. Mereka yang berpakaian hebat, berkereta besar lebih mudah untuk dapatkan kepercayaan dari bakal mangsa. Apatah lagi jika diselitkan dengan unsur agama seperti umrah dan haji, penyampaian zakat kepada asnaf dan sebagainya. Mereka menjual penampilan dan menjual agama demi mendapatkan peluang perniagaan skim cepat kaya.

Secara jujurnya, kita semua harus memainkan peranan dalam perkara ini. Aktiviti menyedarkan masyarakat perlu diperbanyakkan. Kerajaan pula pada masa yang sama harus memberikan perlindungan paling ketat kepada rakyat Malaysia dan harus berupaya mengambil peranan sewajarnya bilamana ia berlaku.

Prev PostEasturia Vacation Club (EVC) - tolong review
Next PostWebe speed test - Jeli

Leave a reply